Thursday, July 16, 2009


Teknik Didik Anak Membaca

Bersama Othman Ahamad
Penulis Siri Cepat Membaca Bacalah Anakku dan ReadEasy


Bolehkah anak berusia 15 bulan membaca? Apa pandangan anda? Mustahil bukan? Tetapi pada usia inilah anak anda perlu dilatih untuk mula mempunyai minat untuk membaca supaya pada usia 3 tahun nanti mereka bersedia untuk membaca.
Pada mulanya anak-anak kecil ini lebih berminat dengan warna buku, pergerakan kertas yang diselak, bunyi bising kertas dan suara lucu anda. Bagaimanapun, sambil anda bercakap dan membaca, mereka akan melihat pergerakan jari telunjuk anda dan mula melihat warna, bentuk dan corak gambar dan teks yang dibacakan.

Sedikit demi sedikit bentuk dan corak tersebut menjadi lebih jelas dan biasa dengan mereka. Seterusnya mereka akan mengaitkan bentuk-bentuk tertentu dengan bunyi-bunyi tertentu. Biasanya mereka akan membalik-balikkan muka surat yang dibaca, menunjuk-nunjuk benda yang telah biasa dilihat dan kadang kala mendengar apa yang diceritakan dan mengikut bersama bercerita dengan bahasanya sendiri. Melalui bukulah, kanak-kanak dapat membina bahasa, belajar mendengar, memahami dan bercakap dan menggalakkan komunikasi. Buku juga bukan sahaja dapat meluaskan imaginasi dan pengalaman mereka tetapi juga membantu mereka memahami situasi dan cara orang disekelilingnya berinteraksi.
Oleh itu ibu bapa bukan sahaja perlu bijak memilih buku yang sesuai tetapi juga pandai menggunakan buku untuk merangsang minat membaca kepada anak-anak kecil.
Pada awalnya, pilihlah buku yang mempunyai ilustrasi binatang seperti kucing, ikan, ayam dan sebagainya, objek yang dekat dengannya seperti baju, kasut, sikat, dan sebagainya yang jelas, besar dan berwarna warni.Bercakaplah mengenai benda-benda di dalam buku tersebut seperti warna, bentuk, bunyi berkaitan dan kegunaannya. Namakan benda atau objek yang dilihat dengan sebutan yang jelas. Buku-buku yang interaktif dalam konteks ada bahagian gambar yang boleh ditarik, ditekan, diselak sangat menarik minat kanak-kanak supaya terlibat secara langsung dalam sesi membaca. Rangsang minat anak anda dengan menggalakkan mereka menarik, menekan, mencungkil dan menyentuh bahagian-bahagian tersebut. Jangan terlalu sayangkan buku sehingga mereka tidak dapat menyentuhnya. Aktiviti-aktiviti sebeginilah yang akan menjadikan mereka lebih berminat dengan buku dan merangsang otak mereka.
Seterusnya dapatkan buku-buku nursery rhymes dengan kisah-kisah lama yang menarik dan penuh dengan hiburan dan pengajaran. Lagu-lagu yang dikaitkan dalam cerita-cerita ini dapat menarik minat mereka kepada buku dan seterusnya kepada cerita-cerita yang berlagu ini.Beberapa cadangan berikut mungkin dapat membantu anda menarik minat mereka kepada buku.
1. Adakan sesi membaca bersama-sama. Bacakan buku sambil mendakap mereka.
2. Bercerita dengan penuh emosi dan minat. Bunyikan bunyi binatang yang dilihat dengan bersungguh-sungguh dan 'real'.
3. Libatkan aksi dan pergerakan , contohnya menggerakkan tangan seperti belalai gajah apabila bercerita.
4. Tanyakan soalan-soalan seperti berikut:
1. eh besarnya bola ini. Ani suka bola?
2. Yang mana satu sudu yang Amir suka?
3. Apa yang warna biru tu?
4. Apa jadi selepas ini?
5. Bercerita dengan bahasa yang mudah. Contohnya: " Ini kucing. Bunyi kucing 'meow' 'meow' 'meow'. Kucing suka makan ikan"
6. Untuk sesi membaca atau bercerita bersama, lakukan beberapa cadangan berikut:
1. minta anak anda mencari muka surat pertama atau permulaan cerita.
2. sambil membaca, tunjukkan teks perkataan yang dibacakan. Ini akan membantu anak itu memahami arah pergerakan apabila membaca dan memahami secara tidak langsung bahawa teks perkataan penting dalam cerita yang dibacakan, bukan hanya gambar-gambar.
3. minta anak anda membalikkan muka surat untuk anda.
4. tokok tambahkan cerita yang dibacakan dengan maklumat lain supaya mereka lebih faham.
5. tanyakan kepada mereka apa yang terjadi selepas ini.
6. apabila mereka telah biasa dengan cerita yang dibacakan, minta mereka ceritakan kembali cerita tersebut.
Apabila kanak-kanak sudah mula jinak dengan buku-buku cerita atau buku gambar, anak anda mungkin telah bersedia untuk diperkenalkan bunyi-bunyi huruf kepada anak anda. Oleh itu sambil anda membacakan cerita tersebut, terangkan bunyi huruf yang biasa dilihat yang ada pada teks yang dibacakan. Contohnya 'a', anda boleh menyebut:
"Ah, cuba lihat ini. Ini bunyinya 'aaa' (untuk huruf 'a')"
"Yang ini pula 'beh' (untuk huruf 'b')"
Pastikan anda tidak memperkenalkan huruf yang dilihat itu dengan namanya, iaitu 'ei' bagi huruf 'a', atau 'bi' bagi huruf 'b'. Kanak-kanak hanya perlu diperkenalkan dengan bunyi huruf sahaja iaitu 'aa' (untuk 'a') dan 'beh' (untuk 'b') kerana nama-nama huruf tidak ada makna bagi seorang kanak-kanak kecil. Bahkan mengajar nama-nama huruf, bagi seorang penulis buku, Professor Robert K. Logan dalam bukunya, The Alphabet Effect, mengatakan 'teaching a,b,c is the first road block to reading.'

Saturday, July 4, 2009


LAWATAN KE PERPUSTAKAAN
Pada hari rabu 1 Julai 09 yang lepas pihak tadika telah mengadakan lawatan ke perpustakaan desa Masjid Kampung Raja Padang Matsirat. Tujuan lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada murid-murid mengenai fungsi atau kegunaan perpustakaan kepada masyarakat terutama kepada pelajar.

Perpustakaan Desa Kampung Raja terletak di dalam kawasan Masjid Lama Padang Matsirat dan berhampiran dengan kawasan tumpuan pelancong yang datang ke Pulau Langkawi iaitu Beras Terbakar.
Pengawasan Perpustakaan Desa Kampung Raja adalah di bawah tanggungjawab pentadbiran Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah. Perpustakaan desa ini diuruskan oleh Penlong Pegawai Perpustakaan dan Pemnbantu Perpustakaan . Satu jawatan kuasa kecil yang terdiri daripada penduduk setempat serta petugas perpustakaan juga ditubuhkan. Keahlian perpustakaan desa adalah PERCUMA.
Antara perkhidmatan yang disediakan ialah pinjaman buku, rujukan , computer ( mesin pengimbas dan pencetak) dan bahan bacaan ringan seperti majalah dan surat khabar langganan harian (Utusan Malaysia dan The Star). Masa beroperasi ialah pada hari ahad hingga khamis dari pukul 10.00 pagi sehingga 6.00 petang. Hari jumaat dan sabtu serta hari cuti umum ditutup.
Semasa sesi lawatan ini berlangsung pihak perpustakaan telah mengadakan beberapa aktiviti khas untuk murid-murid. Antara aktiviti yang telah di jalankan ialah “seni catan”, sesi uji minda “jom teka” dan jom kreatif “membuat origami mini kemeja”. Di akhir sesi lawatan ini, pelajar telah telah diberi hadiah saguhati sebagai tanda penghargaan dari pihak perpustakaan.

kembali....

Thursday, July 2, 2009


Cara-cara Merangsang Minat Membaca
Ibu bapa profesional sentiasa merangsang minat membaca. Sewaktu tiga tahun pertama usia anak, otak berkembang dengan pesat dan mampu menyerap dengan mudah apa sahaja rangsangan yang diterima.


Peluang ini harus digunakan dengan bijak oleh ibu bapa untuk merangsang otak anak dan mengajar mereka sebanyak mungkin kemahiran terutamanya kemahiran membaca.

Kebolehan membaca merupakan rangsangan yang amat bererti untuk meningkatkan tahap kecerdasan kanak-kanak.

Namun dalam ghairah merangsang intelektual anak-anak, ibu bapa harus peka kepada keinginan dan minat anak pada waktu itu.

Paksaan dan rangsangan yang terlalu banyak mungkin akan membosankan dan membebankan anak.

* * * * * *


Perkara pokok yang perlu dititikberatkan adalah menanamkan minat. Menanam minat membaca boleh dilakukan dengan pelbagai cara dan seharusnya dibuat dengan penuh kesabaran tanpa paksaan.

Antara cara menanam minat membaca ialah:

Sewaktu hamil, eloklah ibu membaca al-Qur’an atau berzikir dan diperdengarkan kepada janin.
Melapangkan sedikit masa untuk mengajar anak. Masa tersebut perlu diisi dengan aktiviti yang berkualiti. Contoh aktiviti: Tuliskan satu perkataan ringkas dengan besar dan berwarna. Bacakan dan eja dengan jelas dan penuh kasih sayang. Atau gunakan kad bergambar (flash card) dan diikuti dengan tulisan. Tunjukkan kepada anak gambar, kemudian eja perkataan atau maklumat berkenaan gambar tersebut.
Semasa di dalam kenderaan, bacakan atau baca bersama-sama anak-anak nama-nama jalan, nombor plet kereta di hadapan, papan tanda iklan dan sebagainya.
Tunjukkan contoh teladan iaitu ibu bapa seharusnya menunjukkan minat membaca dengan cara selalu membaca di hadapan anak.
Semasa ibu atau ayah membaca, letakkan anak yang masih bayi di pangkuan dan bacalah dengan suara yang agak kuat.
Sentiasa membawa anak ke medan ilmu seperti ke pesta buku, pameran buku, ke kedai buku, ke perpustakaan dan seumpamanya.
Jika bercadang memberikan hadiah, belilah hadiah buku seperti buku cerita, ensaiklopedia, kamus, buku bergambar dan sebagainya.
Membiarkan anak bermain dan ‘bergaul’ dengan buku. Jangan membeli buku tetapi disimpan di dalam almari sahaja.
Menyediakan peruntukan kewangan atau tabung untuk membeli dan menyediakan bahan-bahan bacaan, termasuk langganan majalah kanak-kanak dan menyediakan perpustakaan di rumah.
Jangan memarahi anak kecil yang bermain dengan buku-buku anda. Sebaliknya buku-buku perlu diletakkan pada tempat yang mudah diambil oleh anak.
Membacakan buku cerita dan kisah-kisah nasihat kepada anak. Contohnya sewaktu minum petang atau sebelum tidur. Aktiviti ini boleh dimulakan seawalnya apabila anak telah berusia 6 bulan.
Menyediakan tempat khas supaya anak boleh mengambil dan menyimpan sendiri buku. Boleh juga disediakan beg atau bakul khas supaya anak boleh membawa buku ke mana sahaja terutamanya semasa perjalanan jauh.
Membiasakan membeli buku jika anak meragam sebagai menggantikan mainan untuk mententeramkannya.
Sentiasa memberi pujian dan penghargaan kepada usaha-usaha dan pencapaian anak untuk membaca.

Petikan dari “Mendidik Anak Pintar Cerdas” tulisan Dr Hasan Hj Mohd Ali,

kembali....